Perincian ‘lompat’ perlu lebih jelas, dipersetujui bersama

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan kelak.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia bagi memastikan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan anti lompat parti dapat mencapai matlamatnya.

“PN mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April 2022.

“Keputusan itu adalah satu keputusan kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, bagi memastikan pindaan perlembagaan tersebut dapat mencapai matlamatnya, definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Hamzah, satu sesi libat urus berhubung cadangan pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti telah diadakan pada 5 April lalu antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama PN.

Dalam sesi libat urus tersebut katanya, PN secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti.

"Pada mesyuarat 6 April lalu, Jemaah Menteri bersetuju bahawa Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada ahli-ahli Dewan Rakyat menggubal akta khusus berkaitan anti lompat parti dengan lebih teratur, terperinci dan boleh diterima oleh semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!