Kerajaan perlu telus bentang pindaan RUU Anti Lompat Parti
SHAH ALAM - Kerajaan perlu berterus-terang ketika membentangkan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dan tidak berselindung di sebalik alasan remeh serta meragukan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah kesal apabila pindaan RUU itu tidak diedarkan kepada ahli Parlimen satu hingga dua hari untuk dikaji semula sebelum perbahasan bermula.
Menurutnya, semua ahli Parlimen perlu diberi peluang yang adil untuk membahas dan membincangkan pindaan perlembagaan tersebut secara terperinci kerana ia akan mengubah politik Malaysia pada masa hadapan.
"Seperti yang saya faham, RUU itu boleh menghukum individu yang keluar parti serta mereka yang dipecat oleh parti.
"Ia memberi terlalu banyak kuasa kepada pemimpin parti politik dan tidak menggalakkan wakil rakyat untuk berfikir dan berkhidmat secara bebas, jadi inilah isu yang perlu dibahaskan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, sudah tiba masanya wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab dan berfikir mereka boleh beralih kesetiaan untuk mendapatkan ganjaran dan pangkat dihukum sewajarnya.
"Sejak Langkah Sheraton, kestabilan politik Malaysia terkesan dengan dua pertukaran kerajaan tanpa sebarang mandat rakyat. Rakyat menderita kerana pemimpin," katanya.
Pada Khamis, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya pembentangan RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan.
Katanya, UMNO merupakan parti paling terkesan apabila terdapat ahli Parlimennya yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!