Cadangan kenaikan elaun pembantu tabika Kemas akan dibawa ke Kabinet
TASEK GELUGOR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di peringkat akhir menyiapkan kertas kerja berhubung cadangan menaikkan elaun pembantu tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang masih memiliki pendapatan dibawah gaji minimum.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan membawa kertas kerja berkenaan ke Kabinet dalam tempoh terdekat untuk kelulusan kerajaan selepas ia disiap sepenuhnya.
“Insya-Allah bila sudah lengkap nanti kita akan bawa ke Kabinet.
“Daripada RM500 dinaikkan kepada satu tahap yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan Kemas Negeri Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Pada Oktober tahun lalu, Sinar Harian melaporkan KPLB berusaha memperjuangkan nasib pembantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di tabika Kemas yang masih memiliki pendapatan di bawah gaji minimum.
Mahdzir sebelum ini berkata, kertas berkaitan isu pembantu tabika Kemas berkenaan telah sampai dari Ibu Pejabat Kemas kepada kementerian.
Jelasnya, KPLB sedang berusaha untuk mengangkat isu ini, yang mana terdapat lebih kurang 10,000 pembantu Kemas di seluruh negara yang menerima RM500 sebulan.
"Dahulu, mereka ini merupakan golongan sukarelawan yang masak di tabika pada waktu tengahari, bagaimanapun sekarang ini pembantu Kemas datang dari pagi hingga petang juga.
"Jadi, mereka diberi sedikit elaun namun ketika ini jumlah itu tidak sesuai, maka kita akan buat mengikut proses perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!