SOP di bazar Ramadan Selangor masih terkawal: MB

Amirudin (dua kanan) turut meninjau gerai peniaga di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong pada Jumaat.
Amirudin (dua kanan) turut meninjau gerai peniaga di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan di Selangor masih terkawal walaupun kesesakan pengunjung dilaporkan berlaku di sesetengah bazar di negeri berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memperbanyakkan lagi tempat berniaga yang sesuai dengan mengawal jumlah peniaga di setiap bazar.

"Setakat hari ini keadaan terkawal tetapi saya masih juga mendapat laporan keadaan sesak berlaku di sesetengah tempat, yang pentingnya pihak majlis atau pemberi lesen perlu melihat kesesuaian (tempat).

"Sebab itu saya menggalakkan ia dianjurkan di tempat lapang, padang dan dataran kerana mudah untuk mengawalnya tapi kalau dalam keadaan begini masih boleh dikawal itu lebih baik dan lebih berkesan.

"Saranan kita kepada pihak majlis perbanyakkan tempat dan bila banyak tempat, kurangkan jumlah peniaga," katanya selepas merasmikan Majlis pelancaran PLATS 3.0 di Bazar Ramadan Bandar Kinrara 5, Puchong di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar.

Dalam pada itu, Amirudin berpandangan adalah lebih baik jika di setiap bazar Ramadan hanya terdapat antara 50 hingga 60 peniaga berbanding 100 hingga 200 peniaga.

"Sebelum ini kita tengok tempat yang besar ada banyak pilihan, ada 200 hingga 300 peniaga yang akhirnya menjadi terlalu padat dengan pengunjung, jadi sekarang kita akan cuba pecahkan dengan lebih banyak tempat berniaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!