RON95: KPDNHEP teliti tambah baik peraturan Akta Kawalan Bekalan 1961
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti untuk menambah baik peraturan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menangani isu ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi (RON95) kepada pemandu kenderaan asing.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bagi memperketatkan lagi penguatkuasaan termasuk cadangan mengenakan tindakan terhadap individu terlibat.
"Kita sedang mengkaji dan bermesyuarat kelmarin untuk memantapkan lagi akta kawalan bekalan ini untuk pastikan bahawa mereka yang terlibat ini mungkin akan dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum Program Tinjauan Mesra Mega Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Tapak Bazar Ramadan TLK Taman Tasik Permaisuri, Cheras, di sini pada Jumaat.
Buat masa ini, tindakan undang-undang hanya boleh dikenakan ke atas pengusaha stesen minyak dan bukan kepada individu warganegara asing yang mengisi petrol bersubsidi RON95 melibatkan kenderaan mereka dengan nombor pendaftaran asing.
Sementara itu, Rosol berkata, siasatan penguat kuasa mendapati terdapat peniaga ayam yang dikenakan kompaun enggan mendedahkan sumber pemborong mereka memperoleh bekalan itu kerana mendakwa telah diberikan amaran untuk tidak mengemukakan aduan kepada kementerian.
"Bila kita tanya kenapa tak nak dedahkan (sumber bekalan), mereka (peniaga) kata sebab mereka ini diberikan amaran jika dipecah (membuat aduan) mereka tidak akan dapat (bekalan) ayam lagi. Itu maklumat yang kita dapat, jadi ini satu benda yang tak boleh dibiarkan dan kita siasat ke akar umbi,” katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, sempena ulang tahun SSM, potongan sehingga 90 peratus diberikan kepada syarikat yang dikenakan kompaun atas semua kesalahan dan inisiatif tersebut berakhir 30 Jun ini.
Pada program itu, Rosol mengagihkan sumbangan wakalah zakat korporat SSM berjumlah RM10,000 kepada 10 orang asnaf usahawan yang perniagaannya berdaftar dengan SSM dan menetap di sekitar Cheras.
Beliau turut mengedarkan apron kepada peniaga-peniaga selain meninjau suasana di Tapak Bazar Ramadan@TLK Taman Tasik Permaisuri dan harga barangan yang dijual. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!