'Kita ada pengalaman berdepan perkara sama...'

Nur Azmi bergambar bersama atlet karate negara ketika membuat lawatan bagi melihat persiapan menjelang Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Jumaat. - Foto Bernama
Nur Azmi bergambar bersama atlet karate negara ketika membuat lawatan bagi melihat persiapan menjelang Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET sukan berasaskan seni mempertahankan diri tidak perlu begitu memikirkan tentang keputusan berat sebelah, yang berkemungkinan terjadi semasa bertanding dalam Sukan SEA Hanoi di Vietnam bulan depan.

Sebaliknya, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, fokus perlu diberikan dalam memperbaiki teknik persembahan sekali gus berhasil mendapatkan mata dalam setiap sukan bersifat subjektif, yang dipertandingkan itu.

"Sukan berasaskan seni mempertahankan diri ini seperti kita tahu, juri atau pengadil yang memainkan peranan penting dalam memberikan markah, namun bagi saya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mereka sewenang-wenangnya membuat keputusan, yang dilihat sebagai tidak memihak kepada mana-mana atlet bertanding.

"Apa yang penting atlet itu sendiri perlu meneruskan tindakan mereka untuk berlawan secara berhabis-habisan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan persiapan atlet Sukan SEA di Bukit Jalil pada Jumaat

Nur Azmi berkata, sekiranya penerapan fokus diberikan kepada aspek penambahbaikan teknik, sudah semestinya atlet dapat melupakan 'igauan buruk' membabitkan isu berat sebelah oleh pengadil atau juri perlawanan.

"Sukan subjektif ini banyak perkara perlu diambil berat atlet, termasuk kena pantas dalam membuat pergerakan dan kadang kala bila kamu mendapat mata pihak lawan juga boleh memungut mata,” katanya.

Tidak menolak kebarangkalian perkara tersebut berlaku pada temasya sukan dwitahunan kali ini, Nur Azmi berkata, pihaknya bagaimanapun tetap membuat persiapan rapi dalam menghadapi kemungkinan tersebut.

"Jika benar timbul sesuatu pertikaian semasa atlet bertanding, mereka juga seharusnya bertindak melaksanakan langkah mempertikaikannya. Pihak kami mempunyai pasukan teknikal daripada pelbagai persatuan, untuk sama-sama berbincang mengenai keputusan itu nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah mempunyai pengalaman sebelum ini berdepan perkara sama, namun apa yang menjadi kerisauan pihak kami jikalau penganjur tidak berlebih-lebih dalam perkara berkenaan, pihak lain pula yang bertindak sedemikian,” katanya.

Beberapa sukan seni mempertahankan diri termasuk karate, taekwando dan silat, antara yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Hanoi bermula 12 hingga 23 Mei ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!