Dua lelaki, seorang wanita ditahan cuba elak pemeriksaan di Tuas

Pemandu itu cuba meloloskan diri melalui lorong pelepasan motosikal automatik, tetapi gagal setelah kenderaannya merempuh kaunter. - Foto Bernama
Pemandu itu cuba meloloskan diri melalui lorong pelepasan motosikal automatik, tetapi gagal setelah kenderaannya merempuh kaunter. - Foto Bernama
A
A
A

SINGAPURA - Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menahan dua lelaki dan seorang wanita kerana gagal berhenti di balai pelepasan imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas dan kesalahan lain.

Kira-kira 2.14 pagi Jumaat, sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia dipandu seorang lelaki warga Singapura, berjaya mengelak pemeriksaan di balai pelepasan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Malaysia lalu memecut ke arah Singapura dan dikejar Polis Trafik Malaysia, menurut ICA.

"Kenderaan itu dikesan di pintu masuk Pusat Pemeriksaan Tuas menghala ke Malaysia.

"Penggera diaktifkan dan pusat pemeriksaan ditutup serta merta,” menurut ICA menerusi laman sesawangnya.

Pemandu itu cuba meloloskan diri melalui lorong pelepasan motosikal automatik, tetapi gagal setelah kenderaannya merempuh kaunter.

Pegawai ICA mengalami cedera ringan dan pemandu itu berjaya ditahan penguatkuasa.

Kedua-dua penumpang dalam kenderaan terbabit, seorang lelaki warga China dan seorang wanita warga Vietnam (berdasarkan pengisytiharan), cuba melarikan diri dari lokasi kejadian tetapi berjaya ditahan.

"Wanita warga Vietnam mengalami kecederaan ketika cuba melarikan diri. Kedua-dua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” menurut ICA.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati, pemandu itu dikehendaki Polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB) dan didakwa memiliki dokumen palsu Singapura.

Ujian awal air kencing mendapati pemandu berkenaan positif dadah, kesemuanya kini ditahan pihak polis dan siasatan masih diteruskan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!