'Saya bukanlah seorang manusia yang sempurna'
PEMAIN tengah KL City FC, Kenny Pallraj mengakui kadangkala dia bertindak mengikut emosi seperti ketika insiden menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.
“Saya memberitahu anda semua bahawa saya bukanlah seorang manusia yang sempurna, namun saya akan belajar daripada kesilapan lalu.
“Saya sangat teruja untuk beraksi semula bersama KL City dan bantu mereka capai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum itu, Kenny mencetuskan kontroversi apabila meluahkan kemarahannya di laman media sosial dengan mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Malaysia dah merdeka tapi bola sepak Malaysia masih lagi dijajah.”
Tindakan itu dipercayai berpunca akibat rasa marah Kenny yang dilayangkan kad merah selepas dia didakwa sengaja menolak kepala pemain tengah JDT, Leandro Velazquez.
Dalam hantaran sama, Kenny turut meluahkan kekecewaannya terhadap sesetengah pihak yang menghamburkan komen berbaur perkauman kepada dirinya susulan insiden tersebut.
“Ada sesetengah pihak menghina tindakan saya dengan melabelkan saya ‘koyak’. Malah, ada juga dalam kalangan mereka mengeluarkan komen berbaur perkauman.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih ada yang menyokong saya dengan memberi komen positif. Malah, ada yang mengatakan bahawa saya perlu ketepikan sahaja dan teruskan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!