Gaji minimum RM1,500 amah bebankan majikan

Foto 123rf (Gambar kecil dari kiri: Alizam, Syahriah, Siti Sarah)
Foto 123rf (Gambar kecil dari kiri: Alizam, Syahriah, Siti Sarah)
A
A
A

SHAH ALAM - Bayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 kepada pembantu rumah atau amah yang dinyatakan dalam Memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) membebankan majikan di Malaysia.

Pengurus Projek Teknologi Maklumat (IT), Alizam Ali, 48, berkata, gaji RM1,200 tidak termasuk kos makanan dan keperluan harian semuanya ditanggung oleh majikan.

“Jika sekarang, apa yang keluarga saya makan atau pakai, itu juga yang akan dimakan dan dipakai oleh pembantu. Kalau kami makan makanan premium, dia juga akan makan makanan yang sama.

“Saya bimbang jika diteruskan gaji minimum itu, akan berlaku diskriminasi selepas ini.Biasanya, kos sebulan pembantu rumah untuk makan, minum, kesihatan dan barang keperluan peribadi saja minimum RM500,” katanya.

Bagi pegawai bank, Syahriah Said, 45, sememangnya tidak bersetuju dengan penetapan gaji minimum itu yang disifatkan terlalu tinggi.

“Peruntukan makanan dan keperluan seperti barangan penjagaan diri, ubat-ubatan dan bil telefon sahaja dah sekitar RM700 sebulan. Bonus pula RM1,000 hingga RM1,500 setiap tahun, semuanya kami tanggung.

“Kena tengok pada jenis tugas mereka juga. Kalau jaga bayi atau anak kecil mungkin berbaloi. Tapi bagi saya, kalau nak tetapkan semua majikan perlu bayar gaji minimum sehingga RM1,500 sebulan memang tidak wajar,” ujarnya.

Siti Sarah Kamarul Bahrin, 39, pula berkata, penetapan gaji minimum ke atas pekerja luar perlu sejajar dengan apa dilalui rakyat Malaysia sendiri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekiranya rakyat Malaysia dibayar minimum RM1,500 dan harus menanggung kos sara hidup seperti bayar rumah atau bilik sewa, makan minum, keperluan asas dan logistik pergi balik ke tempat kerja, perkara yang sama mesti ditanggung pekerja luar.

“Ia termasuk bayaran permit tahunan ditanggung majikan.

“Nilai RM,1500 perlu ditimbang tara keuntungan kedua-dua belah pihak, bukan hanya menyebelahi pembekal sumber manusia semata-mata,” jelas Pegawai Teknologi Maklumat itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!