Manchester City tidak boleh ada silap
MANCHESTER City tidak boleh melakukan sebarang kesilapan menjelang perlawanan berintensiti tinggi menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad pada Ahad.
Peringatan itu disuarakan pemain tengah City, Ilkay Gundogan yang menyifatkan pertemuan menentang Liverpool bakal menjadi penentu kejuaraan liga musim ini.
“Pada masa ini Liverpool adalah antara pasukan terbaik di dunia berikutan aksi konsisten mereka sepanjang saingan di peringkat domestik dan Eropah.
“Ya... perlawanan liga akan menjadi sengit dan sukar. Kami mahu menang menentang mereka di tempat sendiri. Ia akan menjadi perlawanan antara dua pasukan yang sama tahap.
“Liverpool pasukan yang sangat efektif dalam serangan balas. Jika kami membenarkan mereka menguasai permainan, mereka boleh menghukum kami,” katanya.
City yang dalam misi merangkul kejuaraan EPL keempat dalam tempoh lima musim kini mendahului Liverpool hanya dengan kelebihan satu mata di persada liga.
Liverpool pula mengintai peluang merangkul semula kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi skuad The Reds itu pada musim 2019/2020, sekali gus mengakhiri kemarau 30 tahun.
Untuk rekod, pertembungan kedua-dua pasukan di Anfield sebelum ini berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!