Akid dihina kerana miskin
KOTA BHARU - Seorang remaja dari Kampung Banggol di sini, yang tular menerusi aplikasi TikTok disebabkan kesusahan hidup pada Khamis sehingga mengundang sebak warganet mengakui pernah dihina oleh rakan-rakan sekolah dek kerana kemiskinan hidup yang membelenggu keluarganya.
Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang turut mendedahkan dia juga disisihkan oleh rakan-rakan disebabkan masalah tersebut.
"Bila saya cuba masuk rapat dengan rakan-rakan sekolah, mereka akan bertindak melarikan diri.
"Bukan itu sahaja masyarakat sekeliling turut berpandangan negatif sehingga ada yang pernah membuat tuduhan mengatakan saya mencuri," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Menurutnya, situasi itu membuatkan dia mengambil keputusan untuk bersabar dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai satu ujian yang perlu diharungi.
Katanya, walaupun sedih dengan nasib yang menimpa namun semangat tidak pernah luntur untuk membantu keluarga.
Wan Akid Afham berkata, setiap hari dia akan mengambil upah mencuci tandas dan karpet masjid untuk menambah pendapatan keluarga.
"Alhamdulillah dengan upah RM6 hingga RM7 dapatlah saya membantu keluarga, dengan duit itu saya beli tepung gandum, gula dan selebihnya beli makanan yang saya suka makan," kata anak bongsu dari empat beradik itu.
Menurutnya, gandum merupakan makanan utama mereka sekeluarga berbanding nasi.
Katanya, ibu akan membuat lempeng dan cucur untuk dicicah dengan gula bagi meredakan kelaparan.
Wan Akid Afham juga berkongsi, hidangan seperti ayam dan ikan hanya dapat dijamah apabila abang atau bapa, Wan Mohd Ruhsemadi Wan Roma, 53, dapat gaji.
"Semua ini bergantung kepada situasi, selebihnya kami makan nasi dengan budu," katanya.
Melihat kehidupan keluarga serba kekurangan, dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga pada masa hadapan.
Menurutnya, kehadiran pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew ke rumah hari ini (Jumaat) menguatkan lagi semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Saya berazam untuk mengikut jejak Ustaz Ebit dengan membantu mereka yang miskin dan memerlukan," katanya.
Sementara itu ibu remaja berkenaan Wan Nor Azma Wahad, 46, berkata, anak bongsunya itu sanggup melakukan pelbagai kerja bagi menampung 'kantung' kewangan keluarga.
"Pendapatan suami yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak menentu, lagipun kudratnya terbatas selepas terlibat dengan kemalangan.
"Bagi menambah pendapatan, saya turut membuat nasi impit untuk diletakkan di gerai. Selain itu anak sulung yang bekerja kampung turut membantu," ujarnya.
Jelasnya turut bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 bermula Mac lalu.
Dalam perkembangan lain, kisah Wan Akid Afham itu mendapat perhatian 'figura' Ebit Liew yang tampil menghulurkan bantuan.
Sinar Harian dimaklumkan keluarga Wan Akid Afham akan mendapat sebuah rumah baharu yang bakal dibina oleh Ebit Liew dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai MyFundAction.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Arif Fazlie Wan Mohd Ruhsemadi di 03010-41- 00028575-6 atau menghubungi talian 019-5975414.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!