Roger Ng didapati bersalah bantu seleweng dana 1MDB

Roger Ng (tengah) berdepan hukuman penjara 30 tahun. - Foto: Agensi
Roger Ng (tengah) berdepan hukuman penjara 30 tahun. - Foto: Agensi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng didapati bersalah oleh Mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana melakukan konspirasi menyeleweng jutaan dolar dari syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan oleh juri di negara berkenaan telah diumumkan oleh Mahkamah di Brooklyn, New York.

Ng merupakan satu-satunya jurubank syarikat berkenaan yang dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan penipuan tersebut.

Dia dituduh mengambil sebanyak AS$35.1 juta (RM148 juta) sebagai balasan membantu ahli Perniagaan dari Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low yang telah mencuri sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.4bilion) dari 1MDB.

Dalam perbicaraan di mahkamah persekutuan selama lapan minggu itu, pihak pembelaan berhujah bahawa dana tersebut adalah transaksi perniagaan yang sah.

Ng yang kini berusia 49 tahun didakwa dengan tiga pertuduhan melakukan konspirasi dan berdepan dengan hukuman penjara selama 30 tahun.

Skandal itu telah menyebabkan Goldman Sachs membayar sebanyak AS$5 bilion (RM21 bilion) denda termasuk lebih AS$2.9 bilion (RM12.24 bilion) kepada Jabatan Keadilan AS. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!