Lelaki maut, anak melecur dalam kebakaran
KUANTAN - Seorang lelaki maut, manakala anak lelakinya melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing di sini pada tengah malam Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.08 malam.
Menurutnya, seramai 24 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.
"Operasi pemadaman kebakaran rumah teres itu menggunakan tiga jentera dan anggaran kemusnahan rumah 50 peratus.
"Kejadian ini menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, manakala seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian tangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ismail berkata, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan operasi terkawal pada 11.57 malam.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Kejadian kebakaran melibatkan nyawa terkorban adalah yang kedua berlaku di daerah ini pada Jumaat.
Sebelum itu, seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di tingkat dua pangsapuri Medan Warisan, Jalan Tanah Putih di sini.
Dalam kebakaran yang dilaporkan jam 3.15 petang itu, mangsa yang berusia 64 tahun itu ditemui terperangkap dalam bilik tidur dengan kesan melecur di bahagian muka dan badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!