ATB 2 patahkan cubaan seludup rokok di Tawau
TAWAU - Pasukan Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup masuk 3,420 karton rokok tidak bercukai ketika rondaan Op Benteng Bersama dilakukan di Kampung Sri Aman, di sini, pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, rokok yang dianggarkan bernilai RM 410,200 itu turut berjaya dirampas.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, rampasan itu hasil daripada tindakan pantas Tim Quick Reaction Force (QRF) yang membuat tinjauan dan pengesanan terhadap dua van jenis Toyata Hiace yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.
"Tim QRF bertindak mendekati dan membuat pemeriksaan awal terhadap kedua-dua van itu dan didapati digunakan untuk tujuan membawa rokok seludup dari Indonesia ke Tawau namun telah ditinggalkan setelah menyedari kehadiran Tim QRF di kawasan tersebut.
"MK ATB 2 percaya kegiatan ini turut melibatkan sindiket warga tempatan dan asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, barangan rampasan termasuk van diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakn selanjutnya.
Sebelum itu, Abdul Karim berkata, kerjasama erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada ditahap yang terbaik dalam usaha menjamin keselamatan dan kemakmuran perairan pantai timur Sabah.
"Kejayaan ini membuktikan sempadan perairan pantai timur Sabah sentiasa diawasi ketat setiap masa oleh pasukan keselamatan sekali gus membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!