61 lokasi panas sampah haram
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengesan 61 lokasi panas aktiviti pembuangan membuang sisa pepejal di lokasi yang tidak dibenarkan tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal)nya, Dr. Mohd Pauze Mohamad Taha berkata, masalah itu dikesan oleh pihaknya menerusi serbuan yang dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pihak tidak bertanggungjawab agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Menurutnya, bermula tahun 2016 hingga tahun lalu, sebanyak 22 kertas siasatan sampah haram telah dibuka dan sebanyak 17 siasatan telah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah.
“Daripada 17 kes itu sebanyak 9 kes telah memihak kepada pihak SWCorp Pahang dimana jumlah denda terkumpul yang telah dijatuhkan oleh mahkamah adalah sebanyak RM131,500.
“Pihak kita sentiasa menjalankan operasi bagi mengesan pelaku atau pihak yang telah membuang sampah di kawasan tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jelasnya, tindakan di bawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Tambahnya, mereka ini boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Sh:Pantau kebersihan melalui Pusat Kawalan C4i
Dalam pada itu, Dr. Mohd Pauze berkata, pihaknya telah menubuhkan Pusat Kawalan C4i bagi pemantauan kebersihan secara keseluruhan dengan menggunakan teknologi pemantauan serba canggih.
Katanya,teknologi itu lebih tumpuan disamping ‘self-regulate’ terhadap kerja-kerja kawalselia konsesi dilapangan.
Menurutnya,pemantuan melalui aplikasi yang dilaksanakan menerusi sistem pemantauan kawalan semua konsensi, Automated Vehicle Locating System dan Laporan Siap Kerja.
“Ketiga-tiga konsesi iaitu Syarikat Konsesi Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment dan E-Idaman diletakkan di bawah satu bumbung dan dikawalselia oleh SWCorp untuk melaksanakan pemantauan era baru dengan menggunakan teknologi aplikasi dan peralatan yang canggih ini.
“Saya yakin dengn kewujudan pusat kawalan berpusat ini dapat menjadikan pemantauan lebih berkesan dengan penggunaan teknologi dan penyelesaian masalah lebih cepat dan tepat. Laporan dan statistik melalui semakan oleh C4i juga dalam menentukan kawasan yang perlu dibuat pemantauan secara fokus,” katanya. Sehubungan itu Dr. Mohd Pauze berkata, cabaran paling kritikal adalah usaha untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan budaya kebersihan serta menghargai alam sekitar.
Katanya, masyarakat hari ini kurang prihatin kepada kebersihan seperti tabiat membuang sampah merata-rata, kurang peka terhadap kesan pencemaran alam sekitar daripada bahan buangan, sikap membazir terutamanya pembaziran makanan dan sikap tidak menghargai barangan serta bahan sebagai sumber.
“Mentaliti masyarakat negara ini perlu berubah supaya lebih peka terhadap isu kebersihan dan alam sekitar.
“Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu melakukan perubahan gaya hidup, kaedah pengurusan dan olahan sisa yang lebih mampan bermula dari rumah,”katanya.
Tambahnya, disebabkan itu SWCorpmemacu transformasi budaya kebersihan dan penghayatan alam sekitar dengan beberapa perancangan jangka masa panjang seperti yang telah di gariskan dalam Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara 2016, Dasar Komuniti Negara dan Pelan Strategik SWCorp 2019-2023.
“Antara tindakan yang telah dilaksanakan oleh SWCorp ialah Penguatkuasaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) untuk isi rumah dan kawasan industri; Penguatkuasaan sampah haram, memperkasa kesedaran masyarakat melalui taklimat atau ceramah dan pameran.
“Disamping itu memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta, komuniti dan NGO dalam aspek merancakkan aktiviti kebersihan dan amalan 3R iaitu (pengurang, guna semula dan kitar semula),”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!