Dakwaan 10,000 rakyat Malaysia jadi PATI di Thailand tidak berasas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Luar memaklumkan dakwaan sehingga 10,000 orang rakyat Malaysia masih berada di Thailand secara tidak sah atau lebih masa adalah tidak berasas.

Menurut Kementerian Luar, berdasarkan penelitian awal, pihaknya juga yakin bahawa jumlah tersebut adalah jauh lebih kecil.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Kementerian dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menghulurkan bantuan kepada lebih 2,439 orang warganegara Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air.

"Berdasarkan rekod Konsulat Jeneral, sehingga kini hanya terdapat 72 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan pihak Konsulat Jeneral dan memegang Pas Sempadan.

"Bilangan ini adalah sebahagian daripada 444 orang warganegara Malaysia yang telah mendaftarkan diri dengan pihak Konsulat Jeneral," menurut kenyataan Kementerian itu pada Sabtu.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, kementerian memperakui terdapat kesulitan-kesulitan yang dihadapi rakyat Malaysia akibat penutupan sempadan sejak Mac 2020.

Katanya, Kerajaan Thailand pada Februari 2021 telah mengumumkan supaya semua warganegara asing yang memegang visa pelancong atau jangka pendek untuk meninggalkan negara tersebut atau akan dikenakan penalti sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

"Lanjutan daripada itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand telah membantu dari segi pembaharuan Paspot Malaysia Antarabangsa (PMA) bagi warganegara Malaysia yang berhasrat untuk memohon pelanjutan tempoh visa di Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Sijil Perakuan Cemas telah dikeluarkan kepada pemegang Pas Sempadan yang telah luput bagi membolehkan mereka kembali ke Malaysia," katanya.

Sehubungan itu juga, Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan konsular kepada warganegara Malaysia yang terkesan akibat penutupan sempadan Malaysia-Thailand.

"Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan warganegara Malaysia di Thailand yang terkesan akibat penutupan sempadan kedua-dua negara dan memegang dokumen perjalanan yang telah luput untuk hadir ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bermula 8 April 2022 bagi membolehkan pihak Konsulat Jeneral menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan secara terus kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di alamat Thailand, No 4 Sukhum Road Muang District Songkhla, Thailand 90000 atau telefon (6674) 311 062 / 316 274 atau email mwsongkhla@kln.gov.my.

Laporan media mendakwa lebih 10,000 rakyat negara ini terperangkap di Thailand dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana pas sempadan mereka telah tamat tempoh.

Keadaan itu didakwa berlaku kerana mereka memasuki negara jiran itu sebelum pelaksanaan PKP pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air disebabkan pintu sempadan ditutup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!