Ikon Perpaduan Bangsa Johor

Sultan Ibrahim mencuba gambus sebagai simbolik kedatangan baginda di Pontian sempena KMJ.
Sultan Ibrahim mencuba gambus sebagai simbolik kedatangan baginda di Pontian sempena KMJ.
A
A
A

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar amat dekat di hati Bangsa Johor.

Baginda disayangi ramai kerana sikapnya yang prihatin, peduli dan kasih kepada rakyat.

Sesungguhnya, Bangsa Johor amat bertuah kerana dikurniakan seorang raja seperti baginda.

Tak kekok bersama rakyat malah sanggup meninggalkan istana demi melihat kehidupan rakyat.

Keperibadian baginda itu menyebabkan rakyat di negeri ini begitu bangga berada di bawah naungan Sultan Ibrahim.

Manfaat platform media sosial

Kecanggihan teknologi maklumat telah digunakan sepenuhnya oleh Sultan Ibrahim untuk menyantuni hati rakyat dengan lebih mudah dan berkesan.

Melalui media sosial rasminya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda berjaya menzahirkan rasa sayang, berkongsi kehidupan keluarga Diraja Johor dan pencapaian peribadi baginda.

Malah melalui kecanggihan teknologi berkenaan juga titah baginda sampai ke pengetahuan rakyat, tak kira sama ada melibatkan isu setempat mahupun nasional.

Artikel Berkaitan:

Paling utama, titah baginda jelas dan difahami ramai khususnya Bangsa Johor.

Sebagai contoh, melalui platform digital ini juga Sultan Ibrahim dapat berkongsi banyak perkara penting berhubung tragedi pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Selain berkongsi gambar keprihatinan baginda melawat mangsa, Sultan Ibrahim juga menggunakannya untuk menasihatkan rakyat supaya menjaga diri masing-masing.

Kembara Mahkota Johor

Kembara Mahkota Johor (KMJ) bukan satu jenama asing bagi rakyat negeri ini.

Saban tahun semua lapisan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan usia ternanti-nanti kehadirannya.

Penganjurannya menyaksikan Keluarga Diraja Johor mencemar duli memasuki ke segenap pelusuk negeri ini bagi bertemu rakyat.

KMJ yang diketuai Sultan Johor menjadi platform buat baginda mendekati rakyat di semua daerah di negeri sambil meninjau pembangunan dan kemajuan yang berlaku.

Melalui penganjurannya juga, rakyat berpeluang bertemu dan berjabat tangan dengan Sultan Ibrahim serta keluarga Diraja Johor tanpa sebarang protokol.

Malah baginda dilihat senang sekali beramah mesra sambil menyertai beberapa aktiviti termasuklah sukan rakyat yang dianjurkan.

KMJ menjadi salah satu cara Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor mendekati Bangsa Johor yang mencerminkan manifestasi 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada'.

Selain itu, ia juga menjadi platform buat baginda menzahirkan pelbagai nasihat, teguran dan saranan yang baik serta bernas kepada kerajaan negeri.

Tak salah kalau katakan, KMJ adalah medium buat Sultan Ibrahim merasai denyut nadi rakyat.

Ikon Perpaduan Bangsa Johor

Selain sikapnya yang prihatin dan sayang terhadap rakyat, Sultan Ibrahim juga terkenal dengan idea perpaduan.

Baginda telah mengangkat terma Bangsa Johor yang menjadi asas kepada perpaduan kaum di negeri ini.

Sikapnya yang menitikberatkan keharmonian antara kaum menjadi tunjang kepada penyatuan rakyat di bumi selatan tanah air ini.

Baginda percaya, kejayaan negeri ini hanya akan dapat dicapai sekiranya semua kaum hidup dalam suasana harmoni.

Justeru, Sultan Ibrahim sentiasa menitahkan rakyat negeri ini agar sentiasa menanam benih kasih sayang, hormat-menghormati serta saling membantu antara satu sama lain.

Berkat idea baginda itu, rakyat negeri ini begitu sinonim dengan sikap bersatu padu tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang masing-masing.

Rumah Impian Bangsa Johor

Keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap rakyat di negeri ini juga boleh dinilai menerusi idea Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ).

Baginda mencetuskan idea berkenaan apabila melihat masih ramai rakyatnya yang masih belum memiliki rumah idaman masing-masing.

Atas tuntutan itu, Sultan Ibrahim telah melancarkan RIBJ menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Tujuannya tidak lain lagi adalah bagi membantu rakyat yang dikasihinya.

Usaha baginda yang dilancarkan pada tahun 2017 ini berjaya mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat.

Lebih 350,000 orang telah membuat permohonan untuk mendapatkan rumah impian masing-masing.

Bagaimanapun, pemohon perlu melalui proses saringan yang ketat untuk mendapatkan RIBJ supaya mereka yang benar-benar layak sahaja dapat manfaat daripadanya.

Sultan Ibrahim bertitah, projek RIBJ tidak memberi keuntungan kepada, sebaliknya baginda sifatkannya sebagai satu jariah kepada rakyat.

Malah, Sultan Ibrahim pernah bertitah kepada sebuah akhbar tempatan baginda sanggup menanggung rugi asalkan rakyat dapat memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti.

Kemegahan Bangsa Johor

Memiliki perwatakan tersendiri selaku Sultan Johor, apa sahaja yang dilakukan Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor seringkali mencuri perhatian ramai termasuk masyarakat di serata dunia.

Sosok tubuh ini sentiasa ada dan dekat dengan rakyat dan Bangsa Johor.

Perwatakan dan keperibadian baginda bukan sahaja menjadi simbol gahnya empayar kesultanan Johor, malah ia juga menterjemahkan keakraban antara raja dengan rakyat.

Sultan Ibrahim juga menjadi simbol bahawa istana bergerak seiring dengan peredaran zaman, inklusif dan dekat dengan rakyat.

Ia merupakan cara Johor mempamer dan mempertahankan bangsanya yang semakin berkembang dan kaya peradabannya.

Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. ALLAH Peliharakan Sultan. Daulat Tuanku!

Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim

(INFO) SULTAN IBRAHIM

- Diputerakan pada 22 November 1958

- Dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981

- Dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010

- Mendirikan rumah tangga dengan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah - Dikurniakan lima putera dan seorang puteri.

**Sumber 1) https://kemahkotaan.johor.gov.my/biodata/dymm-sultan-johor/ 2) Facebook Rasmi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!