Persiapan Aidilfitri Akid sudah siap

Bantuan bertali arus hingga ke tengah malam sejak kisah tular

Wan Akid Afham (dua dari kiri) dan bapanya Wan Mohd Rosemadi Wan Roma, 53, (kiri) menerima sumbangan daripada Mohd Suhaimi (tiga dari kanan). Foto: Sinar Harian
Wan Akid Afham (dua dari kiri) dan bapanya Wan Mohd Rosemadi Wan Roma, 53, (kiri) menerima sumbangan daripada Mohd Suhaimi (tiga dari kanan). Foto: Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Sambutan Aidifitri remaja tular yang mengalami kesempitan hidup, Wan Akid Afham Wan Mohd, 13, kali ini lebih meriah apabila ramai membantunya menyediakan persiapan lebih awal.

Wan Akid Afham mengakui ia perkara luar biasa dalam hidupnya dan keluarga kerana hari istimewa itu tidak pernah disambut seperti itu dengan persiapan seminggu Ramadan.

Katanya, akibat kesempitan hidup, kerap kali dia memakai baju Melayu yang lama namun tahun ini sudah memiliki pakaian baharu dihadiahkan oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika melawat keluarganya pada Jumaat.

“Saya juga dihadiahkan pakaian harian dan ada penderma memberikan seutas jam tangan.

“Saya amat terharu dengan kedatangan orang ramai yang tidak putus-putus ke rumah kami untuk menghulurkan bantuan,” katanya selepas menerima sumbangan oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, kesemua sumbangan yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu keluarga yang sekian lama kesempitan hidup.

“Kami akan berbelanja dengan cermat manakala sebahagian lagi akan disimpan untuk masa depan dan persekolahan serta menyambung pengajian untuk mencapai cita-cita saya sebagai anggota polis.

Artikel Berkaitan:

“Saya pernah diejek kawan-kawan kerana berbadan gempal dan bersedih atas perkara itu namun saya akan berusaha dengan gigih untuk mendapatkan badan yang sihat dan mencapai cita-cita,” katanya.

Kanak-kanak tular, Wan Akid Afham Wan Mohd, 13, (tiga dari kiri) teruja bergambar anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan balai polis Badang yang menyertai rombongan menyampaikan bantuan pada Sabtu.
Kanak-kanak tular, Wan Akid Afham Wan Mohd, 13, (tiga dari kiri) teruja bergambar anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan balai polis Badang yang menyertai rombongan menyampaikan bantuan pada Sabtu.

Wan Akid Afham juga teruja untuk memiliki bilik sendiri di rumah baharu yang sedang dibina di atas tanah milik keluarganya hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Biasanya saya tidur di ruang tamu sahaja tetapi kali ini berharap ada rumah yang lebih selesa untuk kami sekeluarga meneruskan kehidupan.

“Sekarang sudah boleh makan lauk sedap seperti ayam. Sebelum ini hanya ikan rebus goreng dan pergi sekolah pun tiada wang saku,” katanya.

Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata, sumbangan disalurkan menerusi tabung pegawai kanan bertujuan meringankan beban keluarga Wan Akid Afham.

“Tabung berkenaan bukan sahaja untuk anggota polis atau bekas polis malah untuk orang awam yang memerlukan.

“Dalam kesibukan tugas menjaga keamanan negara, polis juga mengambil berat kebajikan anggota dan orang ramai serta membantu setakat kemampuan kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!