Keputusan DNA tengkorak, tulang diketahui minggu depan
SEREMBAN - Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tengkorak, geraham dan cebisan tulang yang ditemui di Taman Bukit Zamrud di sini, Khamis lalu akan diketahui dalam tempoh seminggu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ujian DNA itu nanti akan menentukan sama ada tulang-tulang tersebut sah milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang atau sebaliknya.
"Kita tunggu laporan daripada pihak forensik dan patalogi dahulu. Satu minggu lagi mungkin dapat keputusan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud, pada Khamis.
Nanda berkata, tulang berkenaan ditemui jam 11 pagi selepas suspek lelaki utama kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit.
Tulang berkenaan dijumpai kira-kira 10 meter dari lokasi asal mangsa dikatakan ditanam dalam keadaan bertaburan ditutupi dengan daun-daun kering dan pokok kecil.
Beliau memberitahu, mayat wanita berusia 29 tahun yang ditemui sebelum ini bagaimanapun tiada kaitan dengan kanak-kanak yang dilaporkan hilang itu.
Tambah beliau, bagaimanapun difahamkan suspek dan saksi perempuan serta mangsa pernah tinggal bersama.
"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama Seremban-Kuala Pilah di sini.
Pada 23 Mac, dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita terbabit.
Tempoh reman kesemua mereka yang mempunyai talian persaudaraan kemudian telah dilanjutkan sehingga 11 April
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tular di Facebook seorang individu menggunakan akaun Facebook Hasrul Izwan mengaku sebagai bapa kepada kanak-kanak perempuan tersebut yang dikenali sebagai 'Hanan', Nanda enggan mengulas perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!