Khairulnizam tempat ke-27 di kejohanan Piala Dunia

Khairulnizam ketika beraksi di Piala Dunia, baru-baru ini. - Foto Instagram Khairulnizam
Khairulnizam ketika beraksi di Piala Dunia, baru-baru ini. - Foto Instagram Khairulnizam
A
A
A

PELAYAR negara Khairulnizam Mohd Afendy menamatkan perlumbaan pada kedudukan 30 terbaik dalam Kejohanan Trofeo SAR Princess Sofea (Piala Dunia) yang berlangsung di Palma de Majorca, Sepanyol, awal pagi tadi.

Dalam kejohanan tersebut, atlet kelahiran Selangor itu menduduki tempat ke-27 secara keseluruhan daripada 165 pelayar yang beraksi bagi kategori ILCA7.

Saingan bagi kategori tersebut dimenangi pelayar Great Britain, Michael Beckett yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

"Alhamdulillah keseluruhan berada di tempat ke-27 daripada 165 peserta pada Kejohanan Piala Dunia Princessa Sofea, Sepanyol.

"Masa untuk balik ke tanah air dan mempersiapkan diri untuk Kejohanan Dunia pada Mei ini," kata Khairulnizam dalam satu hantaran di laman media sosialnya.

Pelayar berusia 28 tahun itu memulakan kempen 2022 dengan cemerlang apabila merekodkan keputusan baik di Grand Prix (GP) Portugal pada Februari sebelum meraih pingat perak di Kejohanan Asia yang berlangsung di Abu Dhabi selepas itu.

Pemenang pingat perak di Sukan Asia Incheon 2014 dan Jakarta 2018 membawa momentum tersebut ke Piala Eropah dan hasilnya, Khairulnizam muncul juara dalam kejohanan di Port de Pollenca, Sepanyol, bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!