Mangsa keempat didakwa bapa sudah meninggal dunia
MERSING - Mangsa keempat yang hilang ketika latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, di sini didakwa sudah meninggal dunia oleh bapanya akibat terlalu lemah dan dipercayai hanyut ke perairan Indonesia.
Penyelam warga Eropah berusia 14 tahun itu, Nathan Chester dimaklumkan telah meninggal dunia oleh bapanya, Adrian Chester, 46, yang merupakan salah seorang mangsa terselamat dalam kejadian tersebut serta ditemui di perairan Selatan Pengerang, awal pagi Sabtu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Adrian memaklumkan anaknya itu telah meninggal dunia kerana terlalu lemah.
“Susulan tiga dari empat penyelam itu yang hilang sejak Rabu telah ditemui, operasi cari dan menyelamat (SAR) akan ditamatkan. Mangsa yang selamat adalah dua wanita warga Norway dan Perancis serta seorang lelaki warga Britain.
"Namun seorang remaja lelaki, Nathan Chester, 14, yang masih belum ditemui telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.
"Mangsa terakhir itu dipercayai meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Dalam kejadian itu seramai tiga daripada empat mangsa setakat ini telah ditemui selepas mangsa pertama diselamatkan iaitu seorang wanita warga Norway dikenali Kristine Grodem, 35 ditemui kru bot tunda kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian pada Khamis.
Kesemua yang ditemui selamat itu kini sedang menerima rawatan iaitu dua mangsa di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang dan seorang lagi di Hospital Mersing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!