Penduduk Bandar Elmina gesa guna pistol penenang tangkap anjing liar
SHAH ALAM - Penduduk Bandar Elmina di sini menggesa pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk meluluskan penggunaan pistol penenang (tranqualizer gun) untuk menangkap anjing liar dengan lebih berkesan.
Mantan Bahagian Kebajikan Persatuan Penduduk Elmina Garden (EGRA), Hafiz Hamzani Firdaus Brohier berkata, penggunaan sumpit untuk menembak dan menangkap anjing masih digunakan hingga kini menyebabkan isu yang berlarutan sejak empat tahun lalu tidak selesai.
Menurutnya, penggunaan sumpit untuk tujuan tersebut agak ketinggalan zaman dan kurang sesuai kerana tembakannya kurang tepat dan perlu dilakukan dalam jarak yang dekat.
“Masalah anjing liar di Selangor amnya dilhat masih berterusan kerana kaedah yang digunakan agak ketinggalan zaman.
“Saya faham ia perlu melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk gazetkan kaedah baharu untuk menangkap anjing tapi kita perlu menekan MBSA.
“Jadi saya harap MBSA akan melihat ia sebagai isu yang serius sebagai satu alternatif yang lebih baik,” katanya selepas satu mesyuarat yang diadakan bersama pelbagai agensi di Harmoni 1 RSKU @ City of Elmina, Seksyen U18, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahli Majlis MBSA Zon 22, Muhammad Shakir Ameer yang menghadiri mesyuarat tersebut turut bersetuju dengan idea yang diberikan oleh Hafiz Hamzani berkenaan kaedah alternatif menyelesaikan isu anjing liar di sini.
Namun katanya, penggunaan pistol penenang dikekang oleh undang-undang yang mana ia perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Senapang itu juga tidak boleh digunakan di kawasan orang ramai atas dasar keselamatan. Tapi jika digunakan di kawasan terpencil, mungkin kita akan cuba usahakan sesuatu.
“Buat masa ini, saya sedang mencari badan-badan bukan kerajaan (NGO) tentang pengawalan haiwan terbiar untuk mencari penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.
Mesyuarat di Harmoni 1 RSKU @ City of Elmina, Seksyen U18, di sini pada Jumaat yang melibatkan penduduk dan pelbagai agensi berkaitan membincangkan pelbagai isu berbangkit dalam kawasan berkenaan.
Antara agenda yang dibincangkan adalah isu lalu lintas, pembakaran terbuka dan pengurusan sisa pepejal yang mengganggu ketenteraman penduduk di Bandar Elmina, di sini.
Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, penggunaan pistol penenang perlu mendapat kelulusan daripada pihak polis dan penggunanya diberi latihan khusus untuk pengendalian alat tersebut.
Katanya, hal ini demikian kerana penggunaan pistol tersebut tidak termasuk di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) penangkapan anjing liar yang digariskan oleh pihak KPKT.
"Kaedah yang digariskan (oleh KPKT) untuk digunakan dalam aktiviti penangkapan anjing liar adalah perangkap dan umpan, penjerut atau 'loop' dan jaring.
" Penggunaan pistol penenang hanya sesuai di gunakan di kawasan lapang bagi mengelakkan kecederaan atau kemalangan kepada orang awam," katanya.
Mengulas lanjut Zamani Ahmad berkata, isu anjing liar di Shah Alam berada dalam keadaan terkawal dan menunjukkan penurunan jumlah aduan iaitu sebanyak 1,490 aduan pada 2021 berbanding 1,833 aduan pada tahun sebelumnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!