Perak FC bangkit tebus defisit tiga mata
PERAK FC memperagakan persembahan terpuji apabila bangkit untuk menewaskan Selangor FC 2, 2-1 dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Perak pada Sabtu sekali gus menebus defisit pemotongan tiga mata dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini.
Biarpun dihimpit masalah tunggakan gaji sejak permulaan musim, namun ternyata tidak menjejaskan mental para pemain skuad Yusri Che Lah yang tampil dengan motivasi luar biasa berbanding pasukan lawan yang disifatkan lebih sempurna.
Aksi babak pertama di Ipoh itu seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan seri tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Selangor FC 2 kendalian Rusdi Suparman yang lebih agresif terlebih dulu merobek gawang The Bos Gaurus hasil jaringan George Attram pada minit ke-81.
Gol itu tidak menyentap semangat para pemain Perak apabila bangkit memperkemaskan permainan yang kemudian menyamakan kedudukan menerusi Farid Khazali beberapa saat kemudian.
Jaringan tersebut ternyata menaikkan motivasi para pemain Perak FC apabila Farid sekali lagi menjadi duri kepada pelawat setelah meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-92'.
Tiga mata di Ipoh itu menyaksikan The Bos Gaurus menebus pemotongan tiga mata dikenakan terhadap pasukan itu berikutan kegagalan pengurusan pasukan menjelaskan tunggakan gaji mengikut tarikh yang ditetapkan MFL pada 31 Mac lalu.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam, Johor Darul Ta'zim (JDT) II tidak berdepan madalah menewaskan UiTM FC, 2-1.
Gol JDT II dijaringkan pemain import dari Mali, Moussa Sidibé (16') dan Fernando Rodríguez (29') manakala gol The Lions dijaringkan Muhamad Nazirul Hasif Mallang (75').
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!