Rugayah, suami masih menanti sejak daftar 2009
KOTA BHARU - Perasaan sayu dirasakan setiap kali melihat umat Islam yang lain dapat berangkat menunaikan haji di Makkah.
Itu yang dialami oleh seorang pesara pembantu tadbir kerajaan apabila namanya dan suami belum dipanggil untuk menunaikan ibadah itu.
Wanita tersebut, Rugayah Ali, 66, berkata, sudah mendaftar bersama suami, Shafia Abdullah, 71, pada tahun 2009 untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).
Katanya, tambah pilu apabila Kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan hanya umat Islam yang berusia bawah 65 tahun sahaja menunaikan haji pada tahun ini.
“Sudah 13 tahun menunggu giliran untuk dipanggil menunaikan haji dan lebih empat kali membuat surat rayuan tetapi belum dapat ditambah dengan ancaman Covid-19 dua tahun kebelakangan ini.
“Lebih hiba apabila tahun ini hanya usia 65 tahun ke bawah sahaja yang dibenarkan pergi haji tetapi saya dan suami sudah melebihi usia,” jelas Rugayah ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Bagaimanapun, dia akur dengan keadaan itu kerana demi kebaikan untuk semua jemaah yang menunaikan haji dari seluruh negara untuk mengelak daripada dijangkiti Covid-19.
“Saya pernah melaksanakan umrah pada tahun 2017 dan tidak berhenti berdoa agar berpeluang menunaikan haji.
“Saya juga berharap pandemik ini akan berakhir supaya keadaan kita kembali seperti dulu dapat pergi menunaikan haji beramai-ramai tanpa bimbang jangkitan wabak,” tambahnya.
Menurutnya, belum pernah dijangkiti Covid-19 dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dengan memakai pelitup muka selain mengamalkan pemakanan yang sihat.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan sebanyak satu juta umat Islam di bawah usia 65 tahun dari dalam dan luar negara itu menunaikan haji pada tahun ini.
Keputusan itu dibuat bagi memastikan semua jemaah dan pengunjung berada dalam keadaan selamat ketika di Masjid Nabawi susulan Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!