Sukar dapat buah kabung
BERA - Seorang peniaga buah kabung ataupun enau di sini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan buah tersebut pada tahun ini.
Itu situasi yang dihadapi Mariati Mohd Jailani, 41 dari Kampung Durian Tawar di sini yang terpaksa menolak banyak permintaan pemborong biarpun mendapat permintaan tinggi.
"Kali ini sukar nak dapat buah yang lembut menyebabkan banyak permintaan pemborong terpaksa ditolak kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka.
"Banyak buah yang dah kering, kalau ada pun terlalu lembik dan cair menyebabkan ia sukar diproses," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Ujarnya, pada Ramadan tahun ini, sambutan amat memberangsangkan terhadap jualan buah kabung yang diproses sendiri oleh Mariati.
Jelasnya,buah kabung yang diprosesnya mendapat permintaan kerana ia diproses tanpa sebarang pengawet.
"Malah ada yang sanggup datang ke rumah saya takut terlepas tidak sempat beli di gerai," jelasnya sudah 10 tahun mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Shaharul Nizam Shamsudin,41 sejak 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, Mariati mengakui terpaksa menaikkan harga jualan buah itu yang siap diproses pada harga RM5 sebungkus pada tahun ini berbanding RM4 pada tahun lepas.
Menurutnya, kesukaran mendapatkan tenaga kerja seperti pemanjat pokok serta perlu menyewa kenderaan sesuai terutamanya di kawasan lebih jauh menyebabkan kos menjadi tinggi hingga harga jualan terpaksa dinaikkan.
"Namun saya tambahkan sukatan setiap bungkusan selain memberikan satu bungkusan percuma bagi yang membeli RM30 ke atas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Buah kabung atau nama saintifiknya,"Arenga pinnata" dikatakan memiliki khasiatnya tersendiri untuk merawat sakit lutut selain dapat menyejukkan badan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!