PM Pakistan digulingkan dalam undi tidak percaya
ISLAMABAD - Pembangkang Pakistan menggulingkan perdana menteri negara itu dalam undi tidak percaya selepas beberapa sekutu Imran Khan dan parti gabungan utama meninggalkannya.
Gabungan pembangkang yang merangkumi spektrum politik dari haluan kiri dan radikal agama akan membentuk kerajaan baharu, dengan ketua salah satu parti terbesar, Liga Muslim Pakistan mengambil alih sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, tiada undian untuk memilih perdana menteri baharu, walaupun pemimpin Liga Muslim Pakistan-N (PML-N), Shehbaz Sharif dilaporkan sebagai calon paling layak.
Imran yang tidak hadir pada persidangan itu hilang majoriti di 342 kerusi susulan tindakan membelot rakan pakatan dan ahli partinya sendiri.
Pembangkang hanya memerlukan 172 undi untuk memecat beliau.
Imran sebelum ini menyatakan menerima keputusan mahkamah agung yang mengarahkan undi tidak percaya, namun menegaskan beliau menjadi mangsa konspirasi 'perubahan rejim' yang membabitkan Amerika Syarikat.
Bekas bintang kriket antarabangsa itu berkata, beliau tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pentadbiran yang akan datang dan mengajak penyokongnya untuk turun ke jalanan bagi protes.
Mahkamah agung Khamis lalu memutuskan bahawa Imran bertindak secara tidak sah membubarkan Parlimen dan ingin mengadakan pilihan raya baharu selepas timbalan speaker enggan membenarkan undi tidak percaya sebelum ini kerana 'campur tangan asing'. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!