Kekalahan MU memalukan!

Rangnick - Foto Sports Illustrated
Rangnick - Foto Sports Illustrated
A
A
A

PENGENDALI interim Manchester United, Ralph Rangnick menyifatkan kekalahan 0-1 kepada kelab kelompok bawah Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton di Goodison Park pada Sabtu, sebagai kekalahan yang memalukan.

Menurut Rangnick, kekalahan berkenaan semakin menyempitkan peluang skuad The Red Devils itu bagi menamatkan saingan EPL musim ini pada kedudukan empat terbaik.

“Saya akui kekalahan ini agak memalukan dan memang sukar untuk saya memberikan penjelasan terhadap kekalahan ini kerana Everton baharu sahaja tewas 2-3 kepada Burnley minggu ini.

“Apa pun secara keseluruhannya, saya akur dengan kekalahan ini yang secara keseluruhannya berpunca daripada pemain-pemain kami sendiri yang dilihat mempamerkan aksi yang tidak meyakinkan,” katanya.

Jaringan tunggal pemain Everton, Anthony Gordon pada separuh masa pertama nyata mengejutkan United yang kemudian bangkit mengatur serangan bagi menjaringkan gol penyamaan.

Kekalahan berkenaan menyaksikan United terus berada pada kedudukan ketujuh EPL dengan meraih 51 mata setelah mengharungi 31 perlawanan.

Mengulas lanjut, Rangnick mengakui kecewa dengan kekalahan berkenaan dan menyatakan bahawa harapan United untuk menamatkan saingan EPL musim ini dalam kedudukan empat pasukan terbaik dilihat makin sukar.

Malah katanya, kekalahan kepada kelab kelompok bawah EPL turut memberikan gambaran mengenai kemampuan sebenar skuad kendaliannya itu.

Artikel Berkaitan:

“Malah apabila pintu gol kami berjaya dibolosi oleh pasukan (Everton) yang telah dibocori tiga kali pada perlawanan terakhir mereka, ada sesuatu yang tidak kena dengan pasukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!