Harga ayam segar naik, peniaga kekal jual nasi beriani RM5

Zulfarizan membungkus nasi beriani yang ditempah pelanggan di gerainya yang beroperasi di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di Kuala Nerus.
Zulfarizan membungkus nasi beriani yang ditempah pelanggan di gerainya yang beroperasi di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Kenaikan harga ayam segar tidak mempengaruhi seorang peniaga nasi beriani di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini untuk menaikkan harga juadah yang dijual, malah kekal menjual makanan itu pada harga RM5 sebungkus.

Peniaga Bazar Che' Lah, Zulfarizan Zakaria, 30, berkata, ia dilakukan bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk sama-sama menikmati juadah itu sepanjang Ramadan walaupun terpaksa menanggung sebahagian besar kos.

"Walaupun harga ayam semakin naik, kita tetap kekalkan harga asas nasi beriani di gerai Bazar Che' Lah pada harga RM5, sama seperti tahun sebelum ini. Kuantiti nasi serta ayam juga masih sama iaitu ayam potong 10 di samping acar dan kuah dalca.

"Tujuan kita supaya pelanggan dapat sama-sama merasa juadah ini mi Ramadan. Sama ada mereka yang mahu berbuka sendiri atau ingin belanja keluarga dan rakan berbuka puasa," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Selain nasi beriani, turut dijual di gerai itu ialah juadah tradisional Terengganu seperti nasi minyak, daging dan ayam kerutuk, gulai daging, ayam dan ikan golek serta aneka kuih-muih.

Menurut Zulfarizan, harga nasi beriani yang dijual mencecah sehingga RM11 sekiranya pelanggan inginkan menu tambahan seperti lauk ayam dan daging.

Katanya, juadah yang dijual mendapat sambutan memberangsangkan sejak hari pertama berniaga pada bulan Ramadan.

"Secara purata, saya menerima paling minimum pelanggan seramai 100 orang sehari berdasarkan jumlah beras yang dimasak iaitu tujuh kilogram setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang membuat tempahan secara pembayaran tunai ketika serahan (COD) juga ramai. Setakat ini, penghantaran pernah dibuat sehingga ke Batu Rakit, Chendering dan Bukit Payong," katanya.

Zulfarizan yang merupakan seorang jurutera meneruskan perniagaan makanan yang diusahakan ibunya selepas berhenti kerja pada Oktober 2020 ekoran penularan Covid-19.

"Ibu saya telah lama berniaga dengan memasak aneka lauk-pauk di rumah, akibat terkesan selepas pandemik Covid-19 saya ambil inisiatif untuk buka kedai bersamanya di rumah.

"Bermula dengan jualan makanan pagi sehinggalah menjual nasi beriani RM5. Sekarang sudah masuk Ramadan kedua kami berniaga, kali pertama berniaga ketika Ramadan pada tahun lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!