KSAB tubuh jawatankuasa petugas khas
JOHOR BAHRU - Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah akan mempunyai satu Jawatankuasa Petugas Khas bagi mengenal pasti kaedah terbaik mengatasi masalah kesesakan trafik di fasiliti itu.
Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, penubuhan jawatankuasa itu dilihat merupakan satu keperluan berikutan jumlah pengguna laluan tersebut yang meningkat setiap kali cuti umum.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan ADUN Perling, Cheo Yee How dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Johor (JINJ).
"Sebelum ini juga sudah meningkat, sebagai contoh, menurut JINJ, bilangan penumpang yang melalui laluan bas KSAB pada 9 Mac adalah 11,965 orang manakala pada 16 Mac 19,308 orang.
"Kenaikan seramai 7,343 orang mengakibatkan kesesakan yang luar biasa. Hakikatnya adalah, infrastruktur laluan bas di KSAB memang tidak dapat menampung kedatangan pelancong yang terlalu tinggi," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini,
Cai Tung berkata, imigresen turut mengambil langkah untuk menambah tenaga kerja bagi melegakan kesesakan dan mengatasi masalah pada masa itu.
Beliau berkata, sebelum ini pihaknya turut menerima aduan terdapat penumpang bas yang terpaksa turun dan beratur panjang dengan bagasi mereka di KSAB untuk pelepasan imigresen.
“Masalah itu akhirnya membawa kepada isu kesesakan sekali gus mengakibatkan masa penungguan yang agak panjang.
“Bagi mengatasi masalah itu, saya difahamkan KSAB juga telah menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di laluan bas untuk menjaga aliran trafik dan melancarkan laluan tersebut,” katanya.
Pada masa yang sama, Cai Tung turut menggesa pemain industri dan ejen pelancongan untuk mengambil kira tempoh puncak, musim percutian dan pelepasan kastam semasa merancang perjalanan.
"Mereka juga sepatutnya mengaturkan supaya pelancong-pelancong dapat bermalam sekurang-kurang satu malam di Johor sebelum ke Melaka dan Kuala Lumpur agar mereka tidak terlepas peluang menikmati produk-produk pelancongan di negeri ini," katanya.
Beliau turut menggalakkan pelancong luar negara untuk masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dekat sini yang kini terdapat tujuh laluan antarabangsa termasuk penerbangan terus dari Guangzhou dan Haikou, China.
"Johor adalah pintu masuk selatan ke semenanjung Malaysia yang utama dan saya berharap pemain industri pelancongan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mempromosikan negeri ini.
“Bersama-sama, kita akan berusaha menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada semua pelancong," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!