Pekerja restoran ditahan miliki ganja
PUTRAJAYA - Polis menahan seorang pekerja restoran kerana memiliki satu paket ganja semasa sekatan jalan raya di Presint 14 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 11.30 pagi.
"Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemui satu paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis ganja.
"Ganja itu disembunyikan suspek di dalam poket seluarnya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, suspek telah dibawa ke IPD Putrajaya dan hasil ujian saringan air kencing didapati positif dadah.
Katanya, soal siasat suspek mengaku dia dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah restoran di Presint 14 dan dadah itu adalah untuk kegunaannya sendiri.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!