Bimbang diusir, penduduk mahu penjelasan segera dari kerajaan negeri
GEORGETOWN - Penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong menuntut kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai pelan pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan kampung mereka.
Timbalan Setiausha Persatuan Penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong, Wafiuddin Hamdan berkata, penduduk bimbang kampung warisan yang didiami mereka sejak sekian lama akan lenyap bagi pembinaan kawasan rekreasi bagi sekolah antarabangsa berhampiran.
Menurutnya, bagi memberi laluan kepada projek itu beberapa struktur di sepanjang pantai Tanjung Tokong akan dirobohkan seperti yang dimaklumkan oleh penyelia projek sekolah antarabangsa terbabit dalam perjumpaan diadakan pada 16 Mac lalu.
"Pada awalnya nenek moyang kami meneroka kawasan persisir pantai di sini namun apabila pembangunan berlaku dan kerja penambakan dibuat pada 2005 penduduk telah meneroka kawasan persisiran pantai baharu.
"Kampung warisan yang kami diami ini seluas 1.3 hektar dan kini mempunyai 78 struktur seperti rumah nelayan, rumah inap desa, kabin bomba komuniti, stor nelayan, pondok rehat nelayan, surau dan pasar nelayan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan bantahan bersama 90 orang penduduk di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut Wafiuddin berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat permohonan sebanyak tiga kali bagi mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dari kerajaan negeri namun ditolak selain pernah kemukakan permohonan Kebenaran Mengguna Tanah Kerajaan (KMTK).
Bagaimanapun jelasnya, sehingga hari ini tidak sebarang jawapan rasmi diberikan oleh kerajaan negeri mengenai permohonan KMTK.
“Kami ingin bertanya apakah status tanah ini, jika tidak ada pemilik atau pelan pembangunan, apakah tindakan atau bantuan seterusnya oleh kerajaan negeri atau agensi-agensi terlibat untuk membantu menyelamatkan penduduk serta komuniti nelayan di sini.
"Penduduk amat berharap kerajaan negeri dapat menjawab soalan kami ini secepat mungkin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!