Peluang cuti hujung minggu sedia keperluan Hari Raya
SHAH ALAM - Orang ramai mula membuat persiapan seawal hari ke tujuh Ramadan dan tidak melepaskan peluang cuti di hujung minggu untuk membeli keperluan Hari Raya.
Keadaan itu dapat dilihat di pusat membeli belah sekitar pusat bandar raya ini termasuk di Up Town Shah Alam di Seksyen 24 di sini pada Sabtu malam dan Ahad.
Pelbagai kelengkapan Hari Raya seperti baju kurung, baju Melayu, tudung dan songkok serta tanjak sebagai pelengkap busana bagi dewasa dan kanak-kanak kini mula dijual.
Selain orang perseorangan, ada yang datang bersama-sama keluarga untuk membeli pelbagai kelengkapan dihajati untuk digayakan pada 1 Syawal nanti.
Malah, aneka kuih moden dan tradisional juga sudah mula dijual untuk hidangan para tetamu di pagi Hari Raya Aidilfitri antaranya kerepek, samperit dan dodol.
Menurut pasangan suami isteri, Sarizal Said, 39, dan Murni Rahmat, 36, mereka memilih untuk bersederhana dalam menyediakan kelengkapan Hari Raya tahun ini.
"Setakat ini belum beli apa lagi, rasanya tak beriya sangat untuk tahun ini, baju raya pun tak pasti lagi hendak beli atau tak, namun bercadang untuk buat kuih raya.
“Bagi kami, masih terlalu awal untuk membeli barangan kerana mungkin apabila berbelanja di saat-saat akhir, tawaran harga mungkin jauh lebih berpatutan,” kata mereka.
Sementara itu, Nurazni Mohd Nor, 33, pula berpendapat, berbelanja awal dapat memastikan barangan yang diingini tidak kehabisan stok dan saiz yang dikehendaki.
“Saya bimbang kalau berbelanja di saat-saat akhir, stok baju raya akan kehabisan saiz nanti dan keadaan di pusat beli belah ketika itu juga lebih sesak dengan orang ramai,” katanya lagi.
Dalam pada itu, jumlah peniaga juga dijangka meningkat malah ‘perang harga’ antara peniaga akan menjadi pemandangan biasa yang akan dilihat menjelang Aidilfitri ini.
Seorang peniaga tanjak ditemui di Seksyen 18, Rosli Jaafar, 44, berkata, sambutan diterima orang ramai setakat ini adalah baik dan menjangkakan jualan akan meningkat pada minggu depan.
"Biasanya begitu, pada minggu kedua bulan Ramadan suasana akan mula sibuk dan peniaga akan menambah stok barang dijual kerana banyak yang dah habis," katanya yang menetap di Batu Caves.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!