'Superman' tak sempat sahur, ditahan ketika pamer aksi berbahaya
KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki tidak sempat bersahur bersama keluarga setelah dicekup pihak berkuasa kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan mempamerkan aksi 'superman'.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, remaja terbabit ditahan dalam rondaan Skuad Unit Risikan Operasi (Skuad 42) JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sekitar jam 3 pagi pada Khamis lalu.
"Sepasukan anggota polis dari Skuad 42 BSPT Dungun mengesan seorang remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan menundukkan kepala selari dengan meter dan melunjurkan kedua-dua kaki ke belakang ketika risikan dan pemantauan di kawasan Jalan Yahaya Ahmad di Dungun.
"Anggota polis berkenaan terus mengekorinya suspek dan berjaya ditahan di Stesen Minyak Caltex, Bandar Dungun," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Ismail berkata, remaja berkenaan bersama motosikalnya kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis turut menahan dua remaja lelaki yang dikesan menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi berlumba sesama sendiri dan membuat aksi 'superman' dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan pada Sabtu.
Ismail berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan sejauh 700 meter bermula dulu Dataran Bandar Baru Kuala Nerus menghala ke jalan perumahan Taman Kemunting kira-kira jam 9 malam.
Selain itu menurutnya, seorang lagi suspek turut ditahan setelah dikesan berulang kali melakukan aksi 'superman' dalam operasi kedua dijalankan Skuad 42 BSPT IPD Kuala Terengganu di Jalan Tengku Mizan, Kampung Bukit Tunggal di sini sekitar jam 2 pagi pada Ahad.
"Kesemua suspek berusia 16 hingga 17 tahun yang ditahan bersama motosikal masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000," katanya.
Dalam pada itu, katanya, JSPT Terengganu tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas terhadap kegiatan samseng jalanan.
"Operasi sebegini sentiasa diberi perhatian dan akan dijalankan secara berterusan.
"Ia bertujuan mencegah gejala tidak sihat dalam kalangan warga belia sekaligus menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!