Felda Jengka 24 imarah Ramadan dengan tadarus al-Quran
JENGKA - Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Jengka 24 di sini turut tidak ketinggalan dalam mengimarahkan Ramadan dengan cara tersendiri di rancangan tersebut.
Pengerusinya, Sapura Mahat memberitahu, tahun ini amat bermakna buat persatuan selepas banyak aktiviti dirancang sebelum ini terjejas akibat penularan Covid-19.
Menurutnya, kelonggaran yang diberikan pada kali ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh persatuan untuk diisi dengan aktiviti berfaedah sepanjang Ramadan.
"Antaranya pada sambutan hari pertama dan kedua Ramadan baru-baru ini, kami memastikan aktiviti tadarus al-Quran dijalankan di masjid di sini.
"Syukur ia mendapat sambutan ahli dan aktiviti ini akan dijalankan semula pada hari Nuzul al-Quran nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, Sapura turut memberitahu penglibatan ahli GPW yang menggembleng tenaga mereka untuk menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan moreh di masjid.
"Ia antara tenaga yang disumbangkan ahli sepanjang bulan yang mulia ini buat Jengka 24.
"Kami berharap semoga bulan puasa kali ini memberikan banyak keberkatan selain berharap Covid-19 berakhir segera," ujarnya setakat ini terdapat 292 ahli GPW di rancangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!