Polis siasat kematian OKT dalam lokap
KUALA LUMPUR - Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes kematian seorang tahanan di Lokap Berpusat Indera Mahkota Kuantan, Pahang pada Sabtu.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 42 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Hospital Kuantan pada jam 6.35 petang.
"Orang kena tahan (OKT) itu telah diberikan ubat sakit tibi pada jam 4.40 petang, lelaki itu kemudian didapati tidak sedarkan diri semasa anggota bertugas mengedarkan makanan untuk berbuka puasa pada jam 5.47 petang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Azri berkata, pada 21 Mac lalu, lelaki itu telah dihantar ke lokap itu bagi menjalani hukuman penjara selama lapan bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sebutan kes pada 14 April lalu bagi kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) akta yang sama.
"OKT tersebut merupakan tahanan dari Penjara Penor, Kuantan Pahang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!