Wau pungguk diperkenal semula di Pahang
PEKAN - Wau pungguk atau cenderawasih yang pernah diminati di Pahang suatu ketika dahulu, kini mula diperkenalkan semula.
Usaha memperkenalkan permainan wau pungguk berhasil apabila lebih 50 peserta tempatan berkampung di Pulau Kucing, di sini.
Penganjur, Sharifah Balkis Syed Azemmant berkata, pertandingan julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk beberapa kampung tradisional di daerah ini.
Katanya, ia diadakan bagi memartabatkan semula permainan tradisi masyarakat Melayu yang kini semakin dilupakan, sekali gus memelihara seni permainan tradisional warisan nenek moyang yang terkenal suatu ketika dahulu.
“Istimewanya wau jenis pungguk ialah ia menghasilkan bunyi dengung menyerupai gesekan biola ketika diterbangkan. Bunyi itu terhasil dari gandar atau busurnya yang diperbuat daripada batang pinang atau nibong.
“Tidak ramai individu yang memiliki kemahiran menghasilkan wau jenis berkenaan,” katanya.
Sementara itu, peserta, Mohammad Khairi Ahmad, 32, dari Kampung Panchor, di sini, berkata, dia meminati permainan wau sejak kecil dan menjadikan kawasan sawah padi sebagai gelanggang mempamer bakat.
Katanya, Allahyarham ayahnya seorang pembuat wau pungguk yang terkenal di daerah ini suatu ketika dahulu dan dia didedahkan dengan teknik pembuatan wau itu sejak kecil.
“Sebab itu saya berharap agar usaha memperkenalkan permainan wau Pahang diteruskan,” katanya.
Mohammad Khairi berkata, dia mengambil masa tiga hingga lima hari untuk menyiapkan wau pungguk dengan berat lebih tiga kilogram (kg).
Tambahnya, untuk menariknya memerlukan angin berkelajuan lebih 40 knot secara berterusan.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan biasanya menyertai pertandingan wau di beberapa negeri sebagai usaha memperkenalkan permainan tradisional itu kepada generasi muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!