MOTAC sasar pendapatan pelancongan antarabangsa RM77 bilion pada 2025

Nancy pada sidang media selepas perasmian kempen Kids Safe Travel di Kuala Lumpur Gold and Country Club, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
Nancy pada sidang media selepas perasmian kempen Kids Safe Travel di Kuala Lumpur Gold and Country Club, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan penjanaan pendapatan pelancongan antarabangsa antara RM47 hingga RM77 bilion pada 2025.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sasaran itu adalah menerusi kemasukan seramai 16 hingga 22 juta pelancong antarabangsa.

"Pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu merupakan berita gembira buat seluruh rantaian sektor pelancongan dan kebudayaan negara untuk menjana semula pendapatan.

"Justeru MOTAC juga menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara ke Malaysia pada tahun ini dengan pendapatan sebanyak RM8.6 bilion. Bagaimanapun ini adalah unjuran awal yang sudah tentunya akan dipengaruhi oleh keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian kempen ‘Kid’s Safe Travel’ yang diperkenalkan syarikat Ola & Oli Sdn Bhd di sini, pada Ahad.

Turut hadir Pengasas Ola & Oli Sdn Bhd Dr Nur Shasa Ain Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Mat Taha.

Dalam pada itu, Nancy berkata kolaborasi pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perhotelan, pusat rekreasi dan sebagainya dapat memastikan ekosistem pelancongan dan kebudayaan berjalan lancar, sekali gus membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.

"Saya memuji penganjuran program yang melibatkan kerjasama strategik bersama pihak lain seperti yang dijalankan Ola & Oli dengan KTMB bersama perusahaan kecil dan sederhana, yang lahir daripada ekosistem pelancongan.

Artikel Berkaitan:

"MOTAC amat mengalu-alukan kerjasama sebegini, malah MOTAC turut menyediakan Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB) bertujuan membantu penggiat industri pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran program atau acara pelancongan, seni dan budaya yang berimpak tinggi pada tahun 2022,” katanya.

Mengenai kempen ‘Kid’s Safe Travel’, Nancy berkata kempen tersebut mampu menyuburkan semula budaya ‘mencegah lebih baik daripada merawat’ yang amat diperlukan pada masa ini, agar aktiviti pelancongan Keluarga Malaysia dapat dijalankan dengan selamat dan terkawal.

Sementara itu, mengulas mengenai travelog kanak-kanak pertama dengan animasi berteraskan budaya dan kesenian negara iaitu ‘Jom Kembara Utan’, Nancy berkata teknologi dalam kehidupan norma baharu membolehkan inisiatif Ola & Oli dicapai menerusi media digital mahupun media realistik.

"Kombinasi adaptasi digital ini seiring dengan Pelan Strategik dan Pemasaran baharu Tourism Malaysia bagi tahun 2022 hingga 2026 yang menekankan inovasi, adaptasi digital, kesihatan dan keselamatan yang sehaluan dengan fasa transit endemik ini,” katanya.

Nancy dalam sidang medianya pula menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan vaksinasi Covid-19 bagi meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak, bagi membolehkan mereka menikmati kebebasan dalam pergerakan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!