Malaysia lahirkan lebih ramai genius

Nama Irdina Shahriman menjadi trending di media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook dan juga Google atas kejayaan meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Nama Irdina Shahriman menjadi trending di media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook dan juga Google atas kejayaan meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu, nama Irdina Shahriman menjadi trending di media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook dan juga Google.

Ramai rakyat Malaysia termasuk penulis berasa bangga atas kejayaan gadis berusia 24 tahun ini.

Sebenarnya, bukan calang-calang kejayaan yang dia capai, hanya mereka yang genius dan bekerja keras mampu menjadi seperti Irdina iaitu pelajar yang mendapat kedudukan pertama daripada 10,000 penuntut lain di Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat dek kejayaan mencapai purata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempoh pembelajarannya di universiti berkenaan.

Memetik beberapa laporan media, Irdina yang merupakan pemegang biasiswa Yayasan Tenaga Nasional dan graduan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik berkata, kejayaan yang dia raih itu bukan sesuatu yang mudah.

“Saya bekerja keras untuk memperoleh keputusan cemerlang dan bukannya seorang genius secara semula jadi.

Saya membuat nota dengan bersungguh-sungguh dan tidak ponteng kelas.

Paling penting saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas untuk meningkatkan pemahaman tentang pembelajaran,” katanya.

Melihatkan kejayaan Irdina dalam pengajiannya di VT, ia jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai ramai anak muda yang cukup hebat dalam bidang masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Ia terbukti sekali lagi apabila enam pelajar Malaysia telah diterima masuk ke salah sebuah universiti terkemuka di dunia iaitu Universiti Harvard pada tahun ini.

Mereka ialah Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang, Chooi Je Qin (Johor), Carisma Michaela Wong (Sabah), Lee Ee Jenn (Kuala Lumpur) dan Alyssa Yap Xin Yi (Sarawak).

Kebanggaan

Kesemua pelajar ini berjaya mengatasi 61,220 permohonan lain dari seluruh dunia, malah pencapaian itu dikatakan sangat luar biasa memandangkan kemasukan pelajar Malaysia ke universiti berkenaan tidak pernah melebihi dua orang bagi satu-satu kemasukan.

Difahamkan, mereka akan memulakan kelas sarjana pada tahun 2026 dalam pelbagai bidang iaitu astrofizik, biokimia, ekonomi, dasar awam, politik dan sosiologi.

Dek kejayaan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada enam pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menyifatkan kejayaan mereka sebagai pencapaian membanggakan untuk negara.

“Tahniah saya ucapkan kepada enam pelajar muda tanah air yang akan menjejakkan kaki ke Harvard College, sekolah peringkat sarjana muda bagi Universiti Harvard yang merupakan universiti terkemuka dunia,” katanya dalam Facebook.

Irdina dan enam pelajar yang akan ke Universiti Harvard nanti adalah antara anak Malaysia yang sangat bijak dalam pengajian masing-masing.

Sebelum ini pun negara telah melahirkan ramai barisan pelajar yang cemerlang dan meraih keputusan peperiksaan yang luar biasa dalam pembelajaran mereka.

Antaranya Dr Nur Amalina Che Bakri, Adi Putra, Nurul Fatin Nabihah Hamdan, Siti Naziah Mohamad Nazid dan ramai lagi.

Malah, artis di Malaysia juga, ramai yang pintar dan hebat dalam pembelajaran masing-masing seperti Neelofa, Mira Filzah, Dr Soo Wincci, Najwa Latif dan Janna Nick.

Melihatkan semua kejayaan ini, penulis menaruh keyakinan bahawa Malaysia akan terus melahirkan lebih ramai pelajar bijak pandai dalam arena mereka sendiri.

Namun perlu diingat, segala kejayaan dan kecemerlangan yang diraih itu bukan datang dengan cara yang senang.

Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan kerana itulah kunci kejayaan seseorang.

Tidak cukup tidur kerana sentiasa mengulang kaji pelajaran, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk berjaya adalah antara perkara yang harus dilalui oleh semua pelajar jika mahu cemerlang dalam hidup.

Jika semua perkara ini ada dalam diri, penulis pasti setiap pelajar akan mencapai kejayaan yang diimpikan, seterusnya menjadi anak bangsa yang mengharumkan nama negara di mata dunia suatu hari nanti.

* Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!