'Mawi' tak menang tangan berniaga ikan bakar
JOHOR BAHRU - Seorang peniaga ikan bakar di bandar Permas Jaya di sini tidak menyangka wajahnya yang seiras penyanyi Asmawi Ani atau Mawi memberikan kelebihan kepadanya.
Menurut Syed Sallilah @ Bakhtiar Syed Mashor, 39, ramai menyangka dia merupakan kembar kepada juara program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3) itu kerana wajah yang seakan-akan sama.
Dia yang mengusahakan gerai Pak Habib Ikan Bakar bersama-sama ahli keluarganya di bandar itu bermula jam 3 hingga 7 petang berkata, pada mulanya dia agak kekok tetapi lama kelamaan sudah biasa dengan panggilan Mawi.
"Ramai yang tegur kerana menyangka saya kembar atau adik-beradik Mawi, namun saya jelaskan kami hanya seiras namun tiada pertalian darah," katanya ketika ditemui di gerainya pada Sabtu.
Anak sulung daripada tujuh beradik itu tidak menafikan faktor tersebut memberikan 'tuah' apabila ramai pelanggan secara tidak langsung mahu mencuba ikan bakar yang diusahakannya.
Malah katanya, ada pelanggan membuat tempahan dalam talian untuk penghantaran selepas popular dalam Facebook miliknya.
"Ada pelanggan beli ikan bakar secara dalam talian semata-mata mahu kenal atau lihat saya dengan lebih dekat kerana wajah saya seiras Mawi.
"Mungkin mereka ingin bertemu dengan saya namun saya bersyukur mereka semua mesra dan memberi maklum balas positif mengenai ikan bakar saya ini," katanya.
Tambah Mawi lagi, minat berniaga mula timbul sejak berusia 10 tahun apabila dia sering membantu ibu bapa menjual kuih tradisional sebelum mengambil keputusan meniaga ikan bakar serta makanan.
"Semuanya bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dua tahun lalu, saya mula menjual ikan bakar sepanjang Ramadan bagi menambah pendapatan keluarga.
"Saya yakin antara tarikan utama pelanggan adalah resepi sambal yang menggabungkan empat hingga lima jenis rempah-ratus. Teknik perapan ikan juga penting bagi memastikan ianya lebih lembut dan lazat," katanya yang memberitahu Mawi adalah antara sahabatnya.
Selain ikan bakar pari dan siakap, Pak Habib Ikan Bakar turut menjual udang, lala, sotong, kerang dan lobster antara RM10 hingga RM50, selain menjual produk sejuk beku termasuk kambing dan ayam perap sempena Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!