Tidak setuju perlembagaan disentuh untuk gubal Akta Lompat Parti

Maria Chin
Maria Chin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Maria Chin tidak bersetuju jika sekiranya Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) berhubung kebebasan berpersatuan dipinda.

Beliau berkata, perlembagaan itu sepatutnya tidak disentuh kerana kesannya amat besar kepada wakil rakyat khusus di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bila Perlembagaan Perkara 10(3) itu dipinda, kita khuatir ianya akan memberi kuasa penuh kepada kerajaan dan akhirnya akan menghalang kebebasan dan hak Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bersuara dan juga berpersatuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya itu berkata sepatutnya draf mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti itu didraf oleh Peguam Negara tetapi lain pula jadinya.

“Apa yang berlaku agak pelik ianya jelas memberi kuasa yang luas kepada kerajaan.

“Tak perlu kelam kabut kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan berlaku dalam waktu dekat dan bagi masa Peguam Negara untuk kaji dan keluarkan satu akta mungkin lepas Hari Raya boleh diadakan sidang khas mengenainya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini, membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!