Sidang Khas Dewan Rakyat, Ibu Pejabat PKR jadi tumpuan hari ini

Dewan Rakyat akan menyaksikan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dibentangkan pada Isnin.
Dewan Rakyat akan menyaksikan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dibentangkan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tumpuan hari ini tentunya ke arah sidang khas Dewan Rakyat yang akan menyaksikan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dibentangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad turut menyatakan harapan agar Artikel 10 Pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam mesyuarat khas tersebut akan diluluskan dengan lebih 148 undi daripada ahli Parlimen.

Ia bersandarkan kepada pendirian parti-parti dalam kerajaan dan juga komitmen Pakatan Harapan (PH) yang akan menyokong pindaan tersebut.

“Jadi tidak timbul isu tentang pindaan ini tidak diluluskan. Saya harap apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PH, Hassan Karim dalam kenyataan pada malam semalam menyarankan agar tiada pengundian terhadap RUU Pindaan Perlembagaan dijalankan selepas ia dibahaskan hari ini.

Ini kerana beliau berpendapat sukar untuk ahli-ahli Parlimen, sama ada di blok kerajaan dan di blok pembangkang menyokong RUU Pindaan Perlembagaan tersebut yang memberi kuasa yang amat luas kepada kerajaan.

Keadaan itu disifatkan bakal memberi risiko terhadap kedudukan Ismail Sabri sekiranya undi majoriti tidak dapat dicapai sekali gus mencetuskan krisis Perlembagaan kerana kegagalan Ismail Sabri mendapatkan sokongan majoriti Dewan Rakyat.

"Jika itu yang akan terjadi, maka suatu krisis Perlembagaan berlaku yang boleh membawa secara konvensyen Ismail Sabri wajar meletakkan jawatan dan terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Seri Paduka Baginda supaya membubarkan Parlimen di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tumpuan juga dijangka berlaku kepada proses penamaan calon bagi jawatankuasa pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Pusat pencalonan dibuka di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya kecuali di Sabah dan Sarawak, yang mana calon boleh hadir ke pusat pencalonan disediakan di dua negeri itu.

Tawaran untuk bertanding bagi merebut jawatan-jawatan utama parti telah diumumkan oleh beberapa pemimpin besar PKR, namun terdapat juga segelintir yang masih berteka-teki mengenai status pencalonan masing-masing.

Antara jawatan yang menjadi tumpuan tentunya membabitkan pemilihan Timbalan Presiden yang akan menyaksikan pertembungan antara Datuk Seri Saifuddin Nasution dan bekas Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Begitu juga dengan status penglibatan bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR kali ini. Adakah beliau akan kembali ke gelanggang?

Semua perkembangan mengenai tumpuan-tumpuan ini akan terjawab dari masa ke semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!