Pertingkat usaha antarabangsa bantu bebas Palestin: Mat Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan terus menggunakan pentas antarabangsa bagi membangkitkan kesedaran dunia mengenai hak dan kebebasan rakyat Palestin, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata inisiatif melalui platform seperti forum, seminar dan persidangan antarabangsa telah menghasilkan perkembangan positif apabila negara-negara Eropah mula menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Malaysia tidak terbabit dalam menghantar pasukan bersenjata di Palestin, tapi kita mainkan peranan menerusi seminar, persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya rakyat Palestin dapat kembali ke tanah air mereka.

“Sepertimana kita perjuangkan hak masyarakat Rohingya dapat kembali ke negara mereka, kita juga akan terus menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam membantu pembebasan Palestin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan NGO ASEAN Plus Mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa di sini hari ini.

Mohamad berkata Malaysia akan terus memberi semangat kepada rakyat Palestin dengan memperluaskan lobi di peringkat antarabangsa, khususnya kepada negara-negara besar dan berpengaruh.

Beliau berkata usaha itu juga seiring usaha berterusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering menggunakan pentas yang dihadirinya untuk bercakap mengenai hak rakyat Palestin.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!