Mydin Prihatin bantu gelandangan
SHAH ALAM - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) melalui program tanggungjawab sosial korporatnya, Mydin Prihatin terus membantu golongan memerlukan sebagai salah satu pengisian Jelajah Mydin Prihatin sepanjang bulan Ramadan yang dikenali program Sahur Mydin Prihatin.
Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, Program Sahur Mydin Prihatin telah diadakan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur pada 6 April lepas.
Menurutnya, dalam program itu, Skuad Mydin Prihatin yang terdiri daripada kakitangan Mydin telah membantu dan mengagihkan pek juadah sahur dan beg kit kebersihan diri kepada 42 penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur
“Mydin sememangnya amat dekat dengan masyarakat terutamanya golongan rentan dan B40. Kami memahami kesukaran yang dihadapi dan terus mendekati serta menyantuni golongan ini agar mereka dapat terus mengukir senyuman sepanjang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ameer berkata, Jelajah Mydin Prihatin akan terus menyantuni golongan asnaf, rumah kebajikan anak-anak yatim dan warga emas berdaftar serta mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di destinasi- destinasi terpilih seluruh negara.
“Ia diadakan untuk memeriahkan sambutan Ramadan dan memberi bantuan persiapan dan kelengkapan Aidilfitri yang bakal tiba kepada mereka,” katanya.
Program Mydin Prihatin diadakan dengan kerjasama bersama 51 jenama pembekal strategik Mydin telah berlangsung sehingga 22 Mei 2022.
“Bagi setiap pembelian produk terpilih di mana-mana cawangan Mydin, dana berjumlah 5 sen sehingga RM1 akan disalurkan ke dana Mydin Prihatin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!