'Fikirkan hak rakyat, kerusi ditandingi milik parti bukan individu'

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilikan sesebuah kerusi yang ditandingi oleh mana-mana ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam pilihan raya adalah milik parti bukan individu, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut beliau, perkara itu sepatutnya menjadi fokus dalam Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti berbanding memfokuskan kepada hak ahli Parlimen yang lompat.

“Kita selalu cakap tentang ahli Parlimen ada hak dan sebagainya, jadi kita kena fikir tentang dia (ahli Parlimen sahaja).

"(Sepatutnya) Tidak, yang penting ialah hak rakyat yang telah pun menaruh harapan kepada seseorang itu yang dipilih jadi wakil rakyat mewakili parti dan disokong rakyat.

“Tapi kalau Ahli Dewan Rakyat rasa dia hebat sangat, dia boleh menang dia juga boleh bertanding bebas, lawanlah tapi saya hendak tekankan di sini bahawa dalam apa yang kita bincang kita kena menekankan tentang kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahasakan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Mohamed Nazri turut menekankan bahawa pemilikan sesebuah kerusi adalah milik parti kerana parti memberikan watikah.

Jelasnya, ini kerana mengikut fahaman rakyat, mereka memilih wakil rakyat itu kerana mewakili parti, bukan kerana peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Janganlah dia (ahli Parlimen yang lompat) bercakap bangga dengan mengatakan dirinya kita (sokongan).

“Kalau rasa kuat sangat, bertanding bebas, hendak lompat sana sini, buat apa sahaja, ikut suka kerana dia bebas.

"Tapi kalau mewakili parti mesti ingat apa yang kita lakukan, sebagai ahli parti mesti akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti kita, itu yang paling penting,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohamed Nazri turut mengesyorkan supaya Ahli Dewan Negara yang dilantik melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dimasukkan dalam klausa RUU Anti Lompat Parti.

Bagaimanapun katanya, klausa tersebut tidak terpakai untuk Ahli Dewan Negara yang dipilih mewakili kumpulan minoriti tertentu seperti mengikut profesion dan sebagainya.

“Tetapi bagi Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh DUN mesti terikat (dengan RUU Anti Lompat Parti) dan tidak ada sebab mengapa mereka harus terlepas daripada apa yang kita bincangkan hari ini.

"Perkara ini dilakukan supaya mereka tidak melompat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!