Tinggal mercun RM5,000 dalam kereta
PASIR MAS - Misteri sebuah kereta yang ditinggalkan di kawasan tebatan banjir Kampung Lachang, Rantau Panjang di sini membawa kepada penemuan pelbagai jenis mercun seludup, pada Isnin.
Mercun tersebut ditemukan hasil pemeriksaan anggota polis pada jam 9.45 pagi sebaik sahaja menerima maklumat dari orang awam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda Es membawa menemui 12 kotak berwarna coklat mengandungi pelbagai jenis mercun dipercayai diseludup dari negara jiran.
"Rampasan mercun itu dianggarkan berjumlah RM5,000," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kemasukan mercun seludup ke negara ini secara haram dipercayai kerana permintaan tinggi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Mohd Nasaruddin berkata, rondaan dan operasi pencegahan jenayah termasuklah penyeludupan terutama mercun akan terus diperhebatkan dari masa ke masa.
"Kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran mercun di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!