Fokus kepada tiga dasar utama: Fahmi Zainol
PETALING JAYA - Calon ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fahmi Zainol menyatakan pasukannya akan memfokuskan kepada tiga dasar utama dalam sesi pemilihan sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun ini.
Menurutnya, tiga dasar utama itu pertamanya adalah untuk memenangi golongan undi 18 dan pengundi yang pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kedua, meningkatkan peratusan calon khususnya orang muda dalam AMK bagi menghadapi PRU15.
“Ketiga adalah mempertingkatkan keupayaan atau kekuatan AMK itu sendiri dengan beberapa perancangan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin.
Dalam pertandingan jawatan Ketua AMK pada sesi kali ini, Fahmi akan bertanding melawan seorang lagi bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang turut mengesahkan pencalonannya.
Mengulas lanjut, Fahmi menambah, tiga dasar utama itu ditawarkan oleh pasukannya kepada seluruh ahli AMK di Malaysia.
Dalam pada itu, mengulas mengenai beliau akan bertanding melawan Adam Adli, Fahmi menyatakan bahawa ia merupakan suatu persaingan yang sihat.
“Beliau (Adam Adli) juga merupakan rakan baik saya dan rakan satu aktivis.
“Apabila beliau masuk dalam PKR dan menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai Ketua AMK, saya rasa ini perlawanan yang sihat, perlawanan adik beradik.
“Saya tidak masalah dan saya meraikan kehadiran beliau untuk bertanding sebagai calon ketua AMK,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!