KUALA LUMPUR - Cuba melarikan diri ke tingkat bawah selain bersembunyi di dalam tandas untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa. Itu kejadian yang berlaku dalam serbuan Ops Bersepadu Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dua buah pusat hiburan di ibu negara, malam tadi. Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 11 malam berjaya menahan seramai 11 wanita warga Vietnam dipercayai merupakan gadis pelayan pelanggan (GRO). "Turut ditahan adalah sembilan lelaki membabitkan warga Bangladesh (4 orang), Nepal (2 orang), China (2 orang) dan seorang warga tempatan merupakan pekerja dan penjaga premis. "Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an," katanya kepada Sinar Harian. Hamidi berkata, serbuan yang tamat kira-kira jam 4 pagi ini turut membuat pemeriksaan terhadap seramai 148 individu dengan bantuan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK, polis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI). Mengulas lanjut, siasatan mendapati GRO disyaki terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dengan melayan serta menemani pelanggan untuk berkaraoke. "GRO ini dipercayai memperolehi tip dengan harga RM200 hingga RM300. Selain itu, semakan juga mengesyaki salah sebuah premis terbabit telah lama aktif dan pernah bertukar pengurusan," katanya. Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.