Pelitup muka 'hauk', Jovian tampil beri penjelasan

Tangkap layar hantaran di Instagram Jovian (gambar kecil) pada Ahad.
Tangkap layar hantaran di Instagram Jovian (gambar kecil) pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie tampil memberikan penjelasan berhubung kenyataannya mengenai isu pelitup muka 'hauk' dalam satu videonya yang tular baru-baru ini.

Menurut beliau, kenyataan dikeluarkan bukan mahu memperkecilkan jenama pelitup muka lain yang berada di pasaran, sebaliknya ditujukan kepada pelitup muka tiruan jenamanya yang dipasarkan secara berleluasa.

“Banyak salah faham, apa yang saya maksudkan tu ialah pelitup muka 'Jovian Mask Tiruan' yang berleluasa di pasaran. Tak ada niat saya nak memperkecilkan mana-mana jenama pelitup muka lain di pasaran.

“Lebih dua tahun Jovian Mask tiruan berada di pasaran mengambil kesempatan guna design, monogram, gambar promosi, nama dan logo kami untuk kepentingan masing-masing sehingga menipu pengguna,” katanya menerusi satu hantaran di Instagramnya pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga pemilik perniagaan busana Jovian Ready-To-Wear (RTW) turut menyifatkan bahawa istilah ‘hauk’ digunakan itu sesuai untuk digunakan terhadap produk tiruan yang dakwanya didalangi oleh ‘mafia’.

“Saya rasa sesuailah saya gunakan istilah hauk itu pada mereka ini. Ini semua kerja mafia! Tapi, kalau ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tak ada niat hendak guris hati anda,” ujarnya yang juga menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas mengenai isu keperluan untuk pelitup muka mendapatkan kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Jovian berkata, perkara itu berlaku bukan disebabkan permintaan atau atas faktor keuntungan syarikatnya.

FYI, once the law imposed it will incur most cost to us as sellers (Untuk pengetahuan anda, apabila undang-undang dilaksanakan, yang akan menanggung kos paling tinggi ialah kami sebagai penjual).

Artikel Berkaitan:

“Dari mana pulak saya akan untung lebih? And I can guarantee you all that my brand is not the first to have SIRIM stamp (Saya boleh memberi jaminan kepada anda semua bahawa jenama saya bukanlah yang pertama mempunyai cop SIRIM).

“Banyak jenama di luar yang sudah ada cop SIRIM. Kita ini baru hendak mohon,” ujarnya.

Kerajaan pada Khamis lalu mengumumkan, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan akan ditangguhkan kepada 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah tersebut diambil bagi memberi peluang kepada industri dan pengguna untuk membuat penyesuaian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!