Capital A fail permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan
PUTRAJAYA - Capital A Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Kumpulan AirAsia Bhd) memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) berkaitan pembayaran caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang tertunggak.
Dalam makluman kepada Bursa Isnin lepas, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd memfailkan notis usul untuk kebenaran merayu itu pada 1 April.
Menurutnya, Mahkamah Rayuan telah mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan penghakiman terus yang memihak kepada MASSB, anak syarikat milik penuh MAHB bagi caj PSC dan caj pembayaran lewat (LPC) dalam tiga saman yang difailkan oleh MASSB terhadap Airasia dan AirAsia X.
"Mahkamah Rayuan seterusnya mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 18 Julai 2019 untuk menolak permohonan AirAsia bagi membatalkan tiga saman sivil MASSB," kata MAHB.
Pada 3 Mac lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan AirAsia dan AirAsia X membayar PSC sebanyak RM40.73 juta PSC dan RM792,381 bagi caj LPC yang belum dibayar kepada MASSB.
Mahkamah turut menolak tiga rayuan AirAsia terhadap penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi membatalkan saman yang difailkan MASSB terhadap mereka.
Tuntutan MASSB terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah untuk PSC yang tidak dibayar pada kadar yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di bawah Peraturan-Peraturan Mavcom (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 yang dipinda pada 2017 dan 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!