PTPTN tawar hadiah hampir RM1 juta
KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada Isnin melancarkan kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN, dengan keseluruhan hadiah bernilai hampir RM1 juta menanti 350 orang pemenang.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, cabutan itu terdiri daripada tiga kategori iaitu Cabutan Tahunan Jubli Perak, Cabutan Khas Babyku Simpan dan Cabutan Siri.
"Menariknya hadiah utama bagi Cabutan Tahunan Jubli Perak kali ini berupa kereta Mercedes Benz A250 AMG Line, hadiah kedua pula berupa wang tunai berjumlah RM100,000 serta hadiah ketiga berupa wang tunai bernilai RM50,000.
"Selain itu, terdapat juga hadiah sagu hati berupa motosikal Honda Dash 125 menanti 22 pemenang, manakala hadiah Cabutan Babyku Simpan berupa wang tunai RM250,000 menanti 250 pemenang. Hadiah Cabutan Siri berupa wang tunai hampir RM200,000, menanti 75 pemenang,” katanya dalam Majlis Pelancaran kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN di Menara PTPTN di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, tempoh promosi bagi Cabutan Tahunan Jubli Perak dan Cabutan Khas Babyku Simpan bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember, manakala bagi Cabutan Siri adalah dari 1 April hingga 31 Disember tahun ini.
"PTPTN sentiasa memberi fokus utama, dalam membudayakan amalan penabungan untuk perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi dan tindakan ini selari dengan Teras Pertama Pelan Strategik PTPTN 2021 hingga 2025, iaitu menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, seorang pensyarah, Khang Tsung Fei, 45, berkongsi kegembiraan apabila berjaya membawa pulang hadiah utama Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2021, berupa jongkong emas bernilai RM150,000.
"Skim Simpanan Simpan SSPN ini merupakan satu skim yang sangat kukuh, dan memberikan saya keyakinan bahawa wang yang disimpan sekarang, akan mendapat pulangan yang baik pada masa hadapan.
"Saya sudah menyimpan sejak tahun 2020 dan perancangan selepas menerima hadiah ini sudah tentu, terus akan menabung semula ke Simpan SSPN demi untuk pelaburan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!